MAJLIS TAHLIL
Sebenarnya majlis tahlil ini sepatutnya diadakan pada bulan Januari 2015 tetapi memandangkan PERMATA HATI melakukan persiapan perkahwinan, maka majlis tahlil ditunda ke satu tarikh lain yang sesuai.
Namun tiada siapa yang tahu rahsia allah, abang kesayangan ku telah meninggal dunia.
Setelah berbincang dengan kakak kesayangan ku, abang ipar dan PERMATA HATI tarikh yang sesuai untuk diadakan majlis tahlil serta majlis doa selamat (sahabat ku yang akan menunaikan ibadah umrah), maka segala persiapan diatur dari menempah makanan, menjemput rakan sekerja dan saudara mara.
Allah jua menggerakkan hati ini agar menjemput anak-anak tahfiz seramai 40 orang. Dengan izinnya menantu sahabat ku menjadi wakil menjemput serta menempah bas untuk memudahkan anak-anak tahfiz ke rumah ku serta mengadakan perbincangan dengan ustaz anak-anak tahfiz bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar.
Hendak dijadikan cerita pada hari yang sama turut diadakan majlis tahlil untuk allahyarham Datuk Seri Jamaluddin Jarjis. Cuak juga rasa di hati bimbang tiada orang yang datang ke majlis tahlil ini nanti. Sedangkan makanan telah ditempah untuk 130 orang. Lebih dari kelaziman.
Setelah membeli barang keperluan dapur saya bergegas memasak agar-agar lapis marble. Biasanya saya menyediakan puding tetapi atas permintaan PERMATA HATI dan meminta pandangannya saya buat juadah yang ringkas sahaja.
Namun kekecewaan mula melanda kerana bahan yang saya gunakan tidak menjadi seperti apa yang saya harapkan. Setelah berfikir agar agar-agar ini dapat dihidangkan dengan sempurna saya tambahkan dengan fruit cooktail.
Majlis tahlil menjelang tiba. Lepas maghrib tiada lagi bayang para jemputan. Saya hanya berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar.
Orang yang pertama sampai adalah anak saudara lelaki saya. Kemudian di susuli adik lelakinya. Kemudian kelihatan beberapa orang kakitangan lelaki datang. Ya allah lega hati ku. Bertambah lega bila anak-anak tahfiz sampai. Demikian juga kelibat beberapa orang jemputan perempuan yang datang.
Hanya allah sahaja yang tahu betapa timbul satu rasa luar biasa yang sukar diungkapkan apabila melihat anak-anak ini. Rasa tenang dan damai di hati sebaik melihat mereka naik ke rumah. Dengan berpakaian jubah putih, berserban dan berkopiah putih mereka bersalaman dengan trtamu lain yang terlebih dahulu sampai di rumah. Seterusnya majlis dimulakan dengan ucapan dari abang ipar ku. Menerangkan tukuan majlis diadakan.
Majlis kemudiannya diserahkan kepada ustaz dengan memimpin bacaan doa dan surah Yassin. Seterusnya diteruskan dengan solat isya. Sedap suara anak-anak ini.
Setelah selesai, mereka dijemput makan di meja yang telah disediakan. Hidangan nasi beriani dengan berlaukkan ayam masak merah, daging opor dan acar serta agar-agar lapis marble, kek lumut dan lemang periuk kera. Paling mengejutkan saya agar-agar yang tidak melepasi standard piawaian saya yang ini dulu habis..permintaan demi permintaan dari ruang lelaki minta tambahan.
Seronok melihat anak-anak ini beratur mengambil makanan dan makan dengan tertib.
Setelah selesai semuanya turun dan terus masuk ke dalam bas. Cuma 4-5 orang masih lagi makan. Tertanya-tanya juga di hati kenapa mereka belum habis makan sedangkan mereka sama sampai. Rupa-rupanya mereka makan kali kedua ...namun ustaz sabar menunggu mereka sehingga selesai makan.
Mereka kemudian ucapkan terima kasih dan berlalu turun menuju ke bas yang sedang menanti. Saya, abang ipar, PERMATA HATI dan kakak menghantar mereka sehingga ke bas. Sempat melambai-lambaikan tangan kepada kami sambil mengucapkan amin, amin, amin. Tersentuh hati ini kerana mereka adalah anak yatim....
Ya allah semuga apa yang dilakukan pada malam ini sampai kepada mereka yang telah tiada buat ayah, ibu, kakak dan abang ku ini sahaja yang mampu saya lakukan. Selagi hayat saya masih ada insyallah majlis tahlil akan terus diadakan buat yang tiada.
Tersentuh dgn kehadiran anak-anak tahfiz ni.Insyaallah semuga mendapat berkat.
ReplyDelete