Pelayaran 29.3.2019 (Pelayaran Islamik)

Perkongsian perjalanan saya kali ini adalah tentang pengalaman pertama saya menaiki cruise.

Setelah melihat sahabat saya mengikuti Pelayaran ke Halong Bay, Vietnam.  Saya mula rasa tertarik dengan aktiviti yang diadakan oleh agensi yang mengurus trip ini.  Ada tazkirah, senaman ringan, lawatan ke Masjid serta membeli belah.  Saya cuba mencari maklumat dalam Facebook tentang Pelayaran Islamik serta menghubungi kakitangan agensi.  Difahamkan yang terdekat adalah pelayaran dari Port Klang ke Phuket, ke Pulau Pinang dan seterusnya kembali ke Port Klang. Pihak agensi mula berkongsi maklumat pelayaran dan Asatizah yang terlibat dengan pelayaran 33.0 antaranya Ustaz Haslin, Sheikh Muzzammil dari Indonesia, kumpulan Raihan serta Ustaz Hafiz (Quran Hour).


Saya mula berbincang dengan kakak samada berminat atau tidak untuk mengikuti Pelayaran ke Phuket.  Setelah kata sepakat diperolehi, saya menghubungi pihak  agensi bertanyakan tentang harga.  Pihaknya memaklumkan  harga berdasarkan bilik yang kita mahu.  Saya memilih bilik untuk dua orang yang mempunyai tingkap menghadap ke laut.  Harganya bagi seorang adalah RM3,347.00.  Pembayaran dibuat secara online.


Pihak agensi mula mewujudkan group whatsapp bagi memudahkan komunikasi.  Perkhidmatan bas disediakan dari KL Central ke Port Klang dan Port Klang ke KL Central.  Bayaran dikenakan RM50.00 seorang untuk pergi dan balik.  Selain itu bagi yang berminat untuk mengambil insurans perjalanan dikenakan RM30.00 seorang.

Itenerary perjalanan, nasihat perjalanan serta keperluan dan larangan mula diwarwarkan kepada peserta pelayaran.  Pening juga banyak perkara perlu di ambil perhatian sampaikan saya membuat nota dan checklist takut terlepas pandang.






Kami membaca dan meneliti arahan yang dikeluarkan serta peraturan larangan sepanjang pelayaran. Banyak sangat perkara yang perlu diberi perhatian.   Memandangkan sterika tidak boleh dibawa, kami memutuskan untuk terus menggosok  pakaian berdasarkan Itenerary dan memasukkan pakaian yang digosok ke dalam plastik secara berasingan dan disusun rapi dalam luggage.  Dan difahamkan juga tidak disediakan jug letrik.  Kami membawa makanan ringan sebagai alas perut atau apabila dalam situasi memerlukan.

Perasaan gementar mula bermain-main maklumlah ini kali pertama naik cruise dan saya langsung tidak tahu berenang andainya berlaku perkara yang tidak diingini. Apatah lagi terbaca berita sebuah kapal persiaran terbakar di tengah lautan namun penumpang dan semua nya selamat.  Akhirnya pada 29.3.2019 jam 9.00 pagi kami bertolak dari rumah dihantar oleh anak saudara ke Port Kelang iaitu di Boustead Cruise Centre.  Parking untuk 4 hari RM20.00 manakala bagi yang menghantar dikenakan bayaran RM1.00 sahaja.  Perlu maklumkan kepada petugas parking sewaktu memasuki pagar.



Perjalanan mengambil masa 1 1/2 jam.  Dan kami terus mendaftar kehadiran.  Kami diberi tag dan diingatkan supaya  tag ini hendaklah sentiasa dipakai.  Selain itu kami diberikan sehelai sejadah dan tasbih serta kompas solat.



Pertama kali saya menjejakkan kaki di sini.  Kelihatan ramai orang. 

Jam 11.00 pagi kami mula check in bag di kaunter seperti di Lapangan Terbang dan seterusnya kami naik ke tingkat satu.  Sekali lagi beratur dan diberikan kad.  Kad ini perlu sentiasa berada bersama setiap masa kerana ia digunakan untuk masuk ke kabin, urusan pembelian di duty free, untuk masuk ke dewan makan, keluar masuk cruise dan sebagainya.  Sebarang urusniaga/urusan menggunakan kad ini.  Ianya amat bernilai.  Di akhir pelayaran baru segala urusan menggunakan kad akan disemak dalam komputer dan kita perlu menjelaskannya sebelum check out.



Kami kemudian melalui imigresen dengan menyediakan pasport.  Perlu melepasi imbasan bag  dan terus menuju cruise Super Star Gemini.  Gambar cruise di belakang saya yang saya naiki.  Terdapat dua lagi cruise yang lain.  Melihat cruise tersebut saya tertanya-tanya apakah ia mampu merentasi lautan.  Jawapannya sudah pastilah kan cuma mungkin imaginasi saya terbayang-bayang lautan bergelora.  Saya cuba atasi apa jua yang bermain di minda.  Kenapa lah di saat-saat akhir ini !.


Di pintu masuk kami serahkan pasport antarabangsa kepada petugas cruise dan menunjukkan kad.  Bilik saya dan kakak di Deck10. Mula terasa macam nak mabuk tetapi  rasa itu makin lama makin hilang.  Kami terus menuju ke Bilik.  Alhamdulillah, bilik sangat selesa dan dapat melihat pemandangan luar. Kedudukan bilik saya adalah di bahagian hadapan.  Kemudahan dalam bilik seperti bilik hotel.  Rupanya jug letrik disediakan.  Bilik air seperti bilik air hotel ada shower, towel, set mandian turut disediakan.  Petugas cruise terdiri dari orang-orang Philipina, Indonesia, China dan Malaysia (Chef).  Makanan dijamin halal.


Jam 11.30 pagi saya ke Mariners Restaurant di deck 09 untuk menikmati makan tengahari.  Sangat bersistematik di mana perlu daftar di kaunter dengan menunjukkan kad bilik dan memaklumkan berapa orang sebilik.  Staf cruise akan memaklumkan nombor meja.  Lokasi meja mudah dicari dan tiada istilah berebut meja.


Saya dan kakak kemudiannya bergegas ke Stardust Lounge deck 10 setelah menikmati makan tengahari. Kedudukan dewan ini satu aras dengan bilik kami dan terletak berdekatan.  Bacaan doa, sessi taklimat dan suaikenal Asatizah dikendalikan oleh travel agensi.  Satu hal yang mengejutkan saya adalah CEO Pelayaran Islamik ini.  Ternyata setelah ia memperkenalkan diri kami berdua tergamam.  Dia lah yang kami jumpa tadi di Port.  Dia menawarkan dirinya untuk mengambil gambar kami berhampiran kaunter pendaftaran.  Ia memakai pakaian sama dengan staff.  Sangat merendah diri dan tidak menunjukkan sebarang tanda beliau adalah pegawai.  Beliau bersama staf nya bertugas membantu dan memandu arah kami dari masa kesemasa.


Setelah selesai, Kami kemudiannya kembali ke kabin masing masing untuk menunaikan solat Zohor dan Asar(Jama' Taqdim). Kami  bergegas pula ke deck 7 untuk taklimat Safety Drill. Kakitangan cruise mula mengetuk setiap pintu kabin meminta penghuninya keluar untuk sessi taklimat (mandatori).  Pengumuman melalui pembesar suara dan siren turut dibunyikan.  Semua diwajibkan hadir.  Kami ke Assembly Station C1 seperti tercatat pada kad.  Tidak susah mencari kerana anak kapal ditempatkan di setiap pintu keluar deck dan menunjuk arah kawasan berhimpun.


Taklimat diberi kakitangan cruise menunjukkan cara memakai jaket keselamatan.  Setelah selesai kami berdua meronda dalam cruise untuk membiasakan diri.


Ini adalah tangga di bahagian hadapan kapal dengan karpet berwarna merah.  Lazimnya tangga ini saya dan kakak menggunakannya untuk naik ke Deck 13 untuk solat berjemaah.

Kemudahan lif.  Kami jarang menggunakannya kerana kedudukan kabin tidak jauh dengan aktiviti dijalankan.

Antara yang dipamirkan.

Kami ke kaunter bertanyakan tentang wi-fi.  Bayaran dikenakan untuk 4 hari adalah RM114.00.  Scan paparan di atas dan ikut arahan. Kami memutuskan untuk tidak membeli.  Kami masih boleh berhubung melalui whatsapp bila berada di perairan Malaysia.

Jam 6.00 petang saya dan kakak menikmati makan malam.   Banyak menu seperti nasi, buah-buahan, aiskrim, kek, roti dan agar-agar.

7.23 petang waktu Solat maghrib dan Isyak berjemaah (Jama'Taqdim) di Deck 13.  Subhanallah, satu pengalaman bar bagi saya dan kakak.  Sementara menunggu waktu maghrib, kami menikmati keindahan ciptaan Allah.   Pihak cruise menghormati dengan menghentikan semua aktiviti dalam tempoh waktu solat.  Azan mula berkumandang.  Sayu rasa hati.  Kami membetulkan saf mengikut arah kiblat berdasarkan kompas.  Angin mula bertiup kencang. Kami solat di kawasan atas sekali dan tidak berbumbung.




Tazkirah disampaikan oleh Ustaz Haslin.  Antara intipati:
1.  Hendaklah berbuat baik
2. Solat
3. Bayar zakat

Kena saling kenal mengenal, faham memahami dan sikap bantu membantu.

Selesai tazkirah kami memilih untuk kembali ke Bilik untuk persediaan qiamullail.  Bagi yang ingin minum dan makan masih boleh berbuat demikian.  Restaurant buka 11.30 malam hingga 12.30 pagi.

Merebahkan badan di tilam yang empuk tidak melenyapkan ketakutan.  Tetapi mungkin kerana keletihan menyebabkan saya terlena.

Sila ikuti pelayaran bagi hari kedua.













Comments

Popular posts from this blog

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 1

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 5

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 4