MENJELANG SYAWAL

Alhamdulillah..sudah tiga kali ramadan saya lalui sepeninggalan ibu dan kakak tersayang.  Rasanya Ramadan kali ini saya semakin tenang dan lebih kusyuk menghayatinya.  Mungkin saya sudah boleh terima apa yang berlaku..

Di bulan ramadan ini waktu yang paling saya nanti-nantikan adalah waktu untuk solat tarawih.  Bacaan oleh imam (pelajar tahfiz dari negara Amman) sungguh menusuk kalbu. 

Lazimnya saya dan sahabat saya akan mengambil saf di bahagian tengah berhampiran kipas memandangkan masjid ini belum dilengkapi penyaman udara.  Walaupun ada kipas kehangatan tetap terasa.  Parking kereta pula setiap malam betul-betul di pintu masuk masjid.  Sampaikan ada yang perasan kerana setiap malam itulah tempat saya meletakkan kereta...

Minggu terakhir ramadan adalah minggu di mana kuih yang ditempah mula diterima.  Suasana di pejabat semakin ceria.

Namun dalam kegembiraan untuk menyambut syawal terdapat perkhabaran melalui group whatsapp berhubung kapalterbang MAS terhempas di Ukraine.  Untuk pengesahan saya menonton berita di tv 3.  Takziah buat keluarga yang terlibat.  Keesokannya saya melihat video yang ditunjukkan oleh anak buah, tidak sanggup untuk terus melihat.  Mayat bergelimpangan walau pun tidak jelas dilertontonkan.  Sedih sangat.  Dugaan kepada keluarga yang terlibat, dugaan buat MAS ( dalam satu tahun 2 tragedi menimpa Malaysia), dugaan buat PM dan Malaysia.

Tahun ini memandangkan hari raya jatuh pada hari isnin dan selasa saya mengambil keputusan untuk ke KL menyambut raya selepas waktu kerja pada hari Jumaat.  Memandangkan tahun ini saya tidak berhasrat untuk memandu jadi pilihan yang ada ialah memilih menaiki bas.  Jadi barang untuk dibawa agak terhad.  Ini yang memeningkan kepala....

Minggu yang terakhir adalah sesi mengemas pakaian dan kuih untuk dibawa beraya. 

Pada hari minggu saya sempat ke pasar minggu untuk membeli ikan dll sebagai persiapan selepas raya.  Ramainya orang membeli belah...dalam keadaan kesesakan dan tahap kepanasan kesan El Nino rasa mahu pengsan.  Nasib baik ada troly...

Keseronokan mula terasa teruja untuk  beraya di Kuala Lumpur.  Persiapan ke Kuala Lumpur mula dilakukan.  Membawa kek buah dan biskut raya serta ketupat pulut sebagai buah tangan untuk yang tersayang. 

Mengerjakan solat terawih di Masjid Wilayah sungguh seronok tetapi masih ada insan yang mementingkan diri sendiri.  Masjid tempat untuk semua umat islam untuk mengerjakan solat dan di mana-mana ruang ada boleh digunakan yang tidak hanya dikhaskan untuk seseorang tertentu.  Tetapi malangnya masih ada insan yang difahamkan sentiasa menimbulkan masalah kepada pengunjung yang lain.  Tempat yang ditanda olehnya tidak boleh dialih walau se inci pun...nak beribadat biar tulus ikhlas dan perlu ada tolak ansur dengan yang lain.  Apa salahnya di hari baik dan bulan baik kita perbaiki dan lebih muhasabah..
Cerita benar ini dipaparkan agar kita sama-sama jadikan ia sebagai ikhtibar dan bertoleransi sesama ummah..ini baru di masjid bagaimanapula dengan kehidupan di luar sana...

Di masjid ini juga melalui FB rakan sekolah saya merakamkan momen indah bersama anaknya sewaktu mengerjakan solat tarawih..cuma kami tidak berkesempatan berjumpa.  Insyallah dengan izin allah satu hari kami akan berjumpa juga.

Malam terakhir saya berqiamulail bersama ahli keluarga antaranya solat hajat, solat tasbih, solat tahajud.  Sungguh seronok...sahur di masjid dihidangkan dengan nasi minyak.  Disambung pula selepas itu dengan solat subuh.

Keesokannya kami shopping raya diikuti malam raya pula di pasar malam jalan TAR.  Pengalaman yang tiada di kampung.  Semakin malam orang semakin ramai kerana harga semakin turun.  Tetapi keseronokan untuk membeli belah berkurangan kerana kesesakan yang melampau berbanding tahun sebelumnya.


Comments

Popular posts from this blog

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 1

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 5

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 4