NOSTALGIA RAMADHAN

Setiap kali Ramadhan datang setiap kali kenangan lalu menjengah.  Terlalu sukar untuk dilupakan dan dibuang jauh-jauh.

Apa saja yang dipandang semuanya mengaitkan kisah lalu.  Baru-baru ini saya ke pasar ramadhan.  Melihat-lihat kuih apa untuk dibeli bagi berbuka nanti.  Tertarik melihat pindang pisang kegemaran arwah abah setiap kali ramadhan.  

Manakala kuih seperti buah melaka, tepung gomak, lopeh adalah antara kuih kegemaran arwah ibu dan kuih lapis pulut kegemaran arwah kakak. Kalau sebelum ini setiap petang pasti akan saya bawa ibu dan kakak ke pasar ramadhan untuk membeli kuih.  Ibu pula berada di dalam kereta menunggu kami membeli juadah berbuka puasa kerana keuzurannya.  Sebaik kami kembali ke kereta ibu akan membelek-belek kuih yang dibeli.  Sebelum balik sudah pasti saya akan membawa ibu berjalan dulu makan angin.  Terbayang satu kepuasan di wajahnya dan kepuasan juga bagi saya kerana dapat membahagiakannya.

Ibu walau pun tidak boleh berpuasa kerana keuzuran beliau tetap berbuka bersama kami walau pun adakalanya dia malu kerana tidak berpuasa.  Sahur pula adakala dia bersama kami dan adakalanya kami sahaja. 

Selalunya apabila menjelang raya arwah kakaklah orang yang paling sibuk sekali membuat persiapan.  Hemmm selalunya kami berdua memasang langsir diperhatikan ibu.  Tetapi kini dari bertiga tinggallah saya seorang menguruskan semuanya.  Ya allah berikanlah hamba mu ini kekuatan untuk melalui ramadan. 

Untuk tahun ini langsir raya ditukar berwarna purple.  Warna kegemaran arwah kakak.  Setelah 2 tahun pemergian mereka langsir tidak ditukar.  Tiada kekuatan untuk melakukannya pada masa itu dari segi mental kerana kenangan bersama mereka masih kuat.  Kenangan itu masih segar tetapi hidup mesti diteruskan.  Biarlah persiapan raya dibuat sepertimana mereka masih ada agar rumah berseri seperti dulu tetapi tidak keterlaluan.

Malam tujuh likur pula abah akan tetap memasang pelita walaupun satu.  Dan akan menunggu di pintu rumah anak-anak dan cucu sampai selain menyediakan air botol yang disimpan dan hanya akan dikeluarkan pada hari raya sahaja. 

Di bulan ramadan juga saya lazimnya sibuk buat persiapan raya untuk ibu , membeli baju dan tudung untuknya.  Tapi kini semuanya itu telah berlalu..

Comments

Popular posts from this blog

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 1

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 5

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 4