KEHILANGAN

Semuanya bermula setelah saya kehilangan ibu di awal tahun 2012. Diikuti kakak pada awal bulan Julai 2012 dan selang seminggu seorang lagi kakak. Kemudiannya pada awal tahun lepas saya turut kehilangan seorang abang.



Saya kehilangan tempat bermanja. Tiada kata-kata yang mampu saya ucapkan, hanya linangan airmata dan doa. Banyak perkara yang saya lalui yang mengajar saya erti kesabaran, kerinduan dan kesedihan. Kesabaran akan ketidaksamaan situasi sebelum dan selepas sesuatu kematian. Kita perlu persiapkan diri dengan situasi baru yang dulunya kita sendiri tidak menjangka akan ianya berlaku. Kerana ia memberi impak yang sangat-sangat berbeza. Saya sendiri melaluinya dan merasai kelainan dari pelbagai aspek seperti rasa diri tidak dipedulikan. Kalau dulu sentiasa berhubung dan bertanya khabar tapi kini telah tiada. Yang tidak disangka2 pula muncul mengambil tahu susah senang dan sebagainya. Itulah hakikat yang perlu dilalui.

Kerinduan kepada insan yang telah tiada,

kerinduan masa lalu sewaktu bersama,

kerinduan kemesraan,

kerinduan demi kerinduan mula menerjah terutama apabila keseorangan.

Di kala ini kesedihan mula melanda, airmata menjadi peneman paling setia. Tatkala ini allah membuka pintu hati seorang insan menjadi peneman setia ku (seorang sahabat) dan dua orang kakak (KR dan KY). Mereka menjadi penyejuk jiwa. Berusaha membahagiakan saya walau pun jarak memisahkan kami.

KY walau pub tiada di sisi sering bertanya khabar.  Telefon menjadi penghubung setia kami.
Bersama KR dan suaminya saya bersyukur kerana saya peroleh ketenangan dan ilmu keagamaan. Saya sering dibawa ke Masjid Wilayah,  ke kedai buku membeli buku-buku agama, mengikuti kelas agama dan sebagainya yang dulu saya tidak dapat ikuti kerana kekangan waktu menjaga ibu yang terlantar sakit ( sedikit pun tidak menyesal menjaga ibu ).

Alhamdulillah kecintaan terhadap mu Allah semakin menebal.

Saya sering menghabiskan masa bersama KR dan keluarganya bercuti di dalam mahu pun di luar negara. Seronok kerana mereka cukup sporting. Percutian ke Port Dickson, Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Kuantan, Tioman, Terengganu dan Vietnam sangat bermakna.






Pemergian abang ipar pada akhir tahun lepas memberi tamparan hebat buat saya yang telah saya anggap beliau sebagai pengganti orang tua. Tiada kata-kata yang dapat saya ucapkan, kerana seorang demi seorang pergi dijemput mu. Beliau meninggal dunia pada hari ia berpuasa sunat. Saya tidak sempat menatap wajahnya buat kali terakhir. Namun hanya sempat melihat jenazahnya dikebumikan.  Tertanya-tanya dihati ini bermimpikah? Tetapi apa yang saya lihat di pusara KR, BUAH HATI keluar dari van jenazah.  PERMATA HATI  terus memeluk saya dalam esakan.  Isteri Amy menyapa dan mengucapkan takziah dan memeluk saya.  Manakala suaminya pula sibuk mengeluarkan air mineral dari kereta untuk diagihkan-agihkan kepada yang hadir di pusara.
Macam tak percaya pun ada!  Saudara mara, sahabat handai kelihatan membanjiri kawasan perkuburan. Kakak ku KR kelihatan tenang walau pun di dalam hatinya hanya Allah jua yang tahu.  Begitu cekal hati mu kakak ku. 





Selepas selesai urusan pengkebumian, saya bersama rakan sekerja membeli makanan untuk dibawa ke rumah kakak KR. Malamnya saya dan kakak KR ke surau yang berhampiran untuk menghadiri majlis tahlil. 

Semasa hayat, arwah sangat baik orangnya walau pun anak-anaknya selalu sebut AYAH KITA GARANG WOO. Beliaulah orang yang sanggup mengambil dan menghantar saya apabila saya ke KL. Beliau juga sanggup menunggu saya, KR dll membeli belah berjam-jam lamanya tanpa merungut. Beritahu jer nak kemana akan ditunaikan.

Terpandang di satu sudut di mana setiap pagi selesai solat subuh berjemaah di masjid beliau akan berada di depan tv membuat catatan akan siri TANYALAH USTAZ. Catatan menggunakan pensil. Pernah saya ajukan soalan kenapa pensil? kenapa bukan pen? Jawapannya mudah ia membetulkan ayat kalau menggunakan pensil.


Setiap pagi juga saya lihat ia akan membasuh semua kenderaannya termasuk kereta menantunya selain dari menyapu hingga ke bahagian luar pagar rumah. Bila disapa dia akan berkata itulah senaman untuk mengeluarkan peluh. Inilah aktiviti bagi orang pencen macamnya. Dan di setiap pagi juga dia akan memanggil anak angkatnya yang kebetulan lalu di hadapan rumah. Adakala dia akan mempelawa minum pagi bersama. Arwah turut membawa anak angkatnya ke bandar untuk membeli keperluan. Kasih sayangnya tidak mengenal bangsa dan status?
Seorang remaja Down Sindrom dilihat datang sendirian ke pusara arwah setelah mendapat tahu Pak Wan (nama popular arwah) meninggal. Dia kemudiaanya menuju ke pusara setelah mendapat pengesahan dari waris yang kebetulan berada di situ. Dia kelihatan membaca doa dan akhirnya setelah selesai dia melafazkan kata "Pak Wan baliklah..sapa nak tolong ikat tali pinggang saya" Sayu, sebak dan membawa kepada gugurnya mutiara-mutiara putih membasahi pipi.

Pada hari-hari berikutnya cucu-cucunya mulai merasa kehilangan Tok Bon yang seringkali membelai mereka dengan penuh kasih sayang. Cucu yang paling kecil tidak mahu menyusu dan tidur. Tetapi setelah dipujuk menyatakan Tok Bon suruh hisap susu, Tok Bon suruh tidur dengan menyanyikan lagu yang seringkali didendangkan. Alhamdulillah ia mahu menyusu dan tidur. Sedih apabila si kecil mencapai kain pelikat Tok Bonnya serta menciumnya. Aduhai.... Kerinduaanya terhadap Tok Bon tidak dapat dibendung ia seakan-akan mencari-cari ke sana sini di dalam ruang rumah Tok Bon seolah -olah mencari Tok Bon. Demikian juga di tempat kerja mummy dan daddy. Ya allah amat sedih sekali..


Abang Long pula menangis kesedihan pabila melihat sekujur tubuh Tok Bon yang telah kaku. Tok Bon yang dulunya seringkali melayani kerenahnya hingga ke Balai Polis hanya semata-mata mendapatkan kebenaran polis untuk menaiki jengkaut..gaga-gara babah terlepas cakap. Kami semua gelak dan tidak menyangka akan perlakuan arwah yang sanggup memenuhi impian cucunya. Habis satu balai tersenyum sipu.



Beliau seorang abang yang sangat menyayangi adik-adiknya. Dan begitu terpancar kegembiraan di wajahnya bila bertemu mereka. Sifatnya yang begitu mengambil berat akan adik-adiknya ketara dari pemerhatian saya sewaktu menerima panggilan yang adiknya akan dibedah (jantung) terus wajahnya sugul dan terus hilang selera makan. Beliau sempat menjengah adiknya yang dimasukkan ke hospital swasta di Kuantan. Sebagai seorang ayah, arwah terlalu mengambil berat tentang anak-anaknya walaupun mereka telah berumah tangga.

Keakrapan mu dengan anak bongsu mu yang seringkali berpimpin tangan ketika berjalan membuatkan saya di peringkat awalnya tertanya-tanya dan pelik kenapa tidak tangan isterinya yang digenggam erat? Rupanya kerana si anak bimbang akan ayahnya yang sakit kaki.

Sebagai suami kepada KR, kamu seperti merpati dua sejoli tidak pernah berenggang. Kalau bercakap berdua seakan berbisik. Kemana-mana kamu seringkali bersama baik dari menghantar dan mengambil PERMATA HATI kerja, menuntut ilmu agama di masjid atau menemui cucu-cucu.
Sebagai mertua kamu meletakkan diri mu sebagai seorang ayah. Terlalu menyayangi menantu-menantu mu. Tidak membezakan antara menantu dan anak. Sebagai seorang datuk kepada cucu-cucu mu, di kala kerinduan mu kepada mereka menerjah, seringkali kedengaran kamu menyebut-nyebut nama cucu mu.

Kalau pada tahun-tahun sebelumnya pada hari raya pertama selesai solat Raya kami akan ke pusara Arwah kakak di Putrajaya, ke Shah Alam pusara arwah abang dan ke Klang ke pusara arwah abang. Kembali ke kampung kami akan menziarahi pusara arwah emak, abah dan kakak. Itulah kelazimannya. Tapi pada tahun ini??

Sudah dua tahun rasanya saya mengadakan majlis rumah terbuka. Dan yang paling gembira adalah PERMATA HATI. Arwah ditugaskan menyambut tetamu lelaki. Seronok melihat arwah melayani tetamu. Yang pasti dia tidak akan makan selagi tetamu semua selesai makan. Tahun lepas tetamu rumah terbuka kami adalah anak yatim, anak tahfiz dan selebihnya jiran tetangga dan rakan kerja. Arwah ditugaskan memberi duit raya kepada anak yatim dan anak tahfiz.

Ya allah, sesungguhnya pemergian orang-orang yang disayang iaitu:-

-mengajar kami erti kerinduan,

-mengajar kami lebih mengambil berat antara satu sama lain,

-mengajar kami erti tanggungjawab,

-mengajar kami erti kasih sayang,

-mengajar kami lebih kusyuk menghadap mu

Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas roh allahyarham ibu, kakak, abang dan Tok Bon. AL FATIHAH.

Comments

Popular posts from this blog

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 1

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 5

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 4