HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 1

Kali terakhir ke luar negara tahun 2019 iaitu ke Surabaya.  Saya belum sempat edit perjalanan saya tersebut dalam blog!  Telah beberapa kali merancang untuk ke Indonesia seperti Acheh, kemudiannya menukar rancangan untuk ke Bukit Tinggi, Padang.  Selain melihat keindahan alam, saya berminat untuk melawat tempat allahyarham Hamka.  Tokoh  hebat.  Namun hasrat ini terhenti seketika kerana wabak Covic19.   Setelah keadaan kembali terkawal saya dan kakak merancang untuk bermusafir.

Beberapa lokasi dipilih, akhirnya  kami membuat keputusan untuk mengikuti trip IntraTama Travel pakej Chan Rak Ter 3.0 kerana tertarik dengan pakej yang ditawarkan, apatah lagi kami pernah mengikuti trip ke Phuket dengan menaiki Cruise dari Pelabuhan di Pulau Indah.  Pengalaman ini saya telah kongsikan di laman blog saya. Memang sangat berpuashati dengan aturcara program.  Program kali ini ke Thailand melibatkan perjalanan dengan menaiki bas ke Hadyai, Hadyai ke Bangkok menaiki sleeper train yang memakan masa lebih kurang 16 jam (1,000 km),  menaiki sampan, makan malam dalam cruise serta kembali ke tanah air dengan kapalterbang.  Harga pakej RM2,129.00  untuk 5 hari 4 malam termasuk harga tiket masuk ke semua tempat lawatan,  makan fullboard kecuali pagi hari pertama serta tiket kapalterbang.  Tidak perlu risau dah cuma bawa sedikit duit untuk membeli belah ☺️.  

Beberapa persediaan awal telah dibuat dengan membeli sim card Thailand untuk tempoh 7 hari melalui shoppe, membawa mini fan, stereka travel, sunglass dan topi memandangkan cuaca di Thailand panas ketika ini.  Pertukaran matawang Malaysia kepada Thb di Aeon Seremban kerana kebetulan saya di sana.  

Pada 03 Jun 2023 saya dan kakak ke KL Central dihantar anak saudara. Sim Card Thailand saya pasangkan siap-siap untuk memudahkan saya apabila di sana nanti.   Kami berkumpul di Terminal Udara jam 9.00 malam.  Bas mula bergerak jam 9.30 malam menuju ke utara.  Pemandu bas memandu dengan berhemah.  Alhamdulillah, kami dapat tidur lena tanpa rasa bimbang.






Kami singgah di RNR Gurun.  Menurut kakak di sini makanannya sedap.  Kami hanya beli air minuman panas dan roti bakar sebagai mengalas perut. Perjalanan diteruskan sehingga Bukit Kayu Hitam.  Berhenti sebentar di masjid untuk solat subuh. 

6.30 pagi kami berada di Imigresen sempadan Bukit Kayu Hitam.  Semuanya turun dengan membawa bagasi dan bag hand carry.  Setelah selesai urusan di Imigresen kami bergegas menuju ke bas yang menanti di pintu luar kompleks Imigresen.


Berhenti pula di Imigresen Thailand tapi kali ini tanpa membawa bagasi dan hand carry. Memerlukan cap jari  iaitu cap jari telunjuk hingga jari manis dan kemudian sekali lagi diikuti cap ibu jari.  Selesai urusan kami kembali menaiki bas yang menunggu di luar bangunan.

Hari semakin cerah dan dapat melihat pekan Danok.  Kelihatan deretan kedai-kedai binaan batu.  


Sarapan pagi di M Hotel, Danok. Yang pasti makanan dijamin halal dan kakitangannya ramah. 


Pelbagai juadah disediakan.




Sempat bergambar berdua bersama kakak di lobi hotel sebagai kenangan selepas sarapan sementara menunggu yang lain-lainnya selesai makan dan minum pagi.


Ini adalah sebahagian dari gambar yang sempat saya ambil dari Danok ke Hadyai.




Kami sampai ke Hadyai jam 9.00 pagi dan terus check in di Train Hotel Hadyai untuk membersihkan diri.  Lokasi betul-betul di stesen keretapi. Saya dan kakak tidak ke mana-mana cuma berehat sementara menunggu waktu untuk turun makan tengahari.  


Jam 1.00  kami dibawa ke sebuah restoran halal iaitu Budfet Halal 299 untuk makan tengahari.  Uniknya di sini steambot dimasak menggunakan arang. Kuah / sop steamboat diletak dalam cerek seperti gambar di bawah. Pengunjung juga boleh memilih untuk membakar udang/daging, cicah dengan sos..  Manakala ikan dibakar oleh petugas restoran di satu sudut.  



Saya mengambil kesempatan mengambil gambar di kerusi / buai kayu panjang yang disediakan di bahagian luar hadapan restoran sementara menunggu yang lain selesai menjamu selera.


Kami singgah shopping di Kaison TShirt.  Sempat kakak memborong tshirt untuk cucunya. Selain tshirt terdapat pelbagai jualan seperti baju wanita, cenderahati dan sebagainya.  


Kami beredar balik ke Hotel untuk check out.  Ini adalah monumen kepala keretapi di bahagian hadapan stesen keretapi yang saya ambil dari ruang lobi hotel.


Manakala ini adalah mesin photostat layan diri yang diletak di pintu masuk hotel.


Bergambar beramai-ramai  sebelum check out The Train hotel-Hadyai.


Stesen keretapi di hadapan hotel ni.  Dekat sangat.  Kerusi penumpang saling menghadap satu sama lain. Dan antara kerusi keduanya adalah meja makan yang boleh dilaraskan kegunaannya bila perlu.Kami semua ditempatkan di gerabak 5.  Luggage diletakkan di bawah kerusi masing-masing.


Tiket ini perlu ditunjukkan apabila ada petugas keretapi membuat pemeriksaan .


Makan malam disediakan oleh pihak Intratama.  Alhamdulillah. 


Beginilah keadaannya laluan sleeper train.  Satu gerabak ni semua untuk Intra Tama Travel. Kami solat di laluan ini kerana tiada ruang solat khusus. 


Hanya seorang petugas wanita bertugas menukar   kerusi untuk dijadikan katil.    Petugas bahagian pembersihan kerapkali  datang membersihkan lantai dan membuang sampah.   Kakitangan cafe juga  mundar mandir datang  untuk mengambil tempahan. Jadi kita tidak perlu susah-susah untuk ke cafe. Kami difahamkan makanan di cafe tidak halal.  

Gambar di bawah adalah bahagian dalam kerusi setelah dijadikan tempat tidur.  Ditutupi dengan langsir.  Disediakan bantal dan selimut.


Ini adalah bahagian dari sisi.. Untuk ke tingkat atas perlu memijak dibeberapa tempat yang disediakan.


Ini pula bahagian kabin kami yang telah disediakan menjadi katil atas dan bawah.  Masing-masing mula merehatkan diri.


Pengalaman pertama saya dan kakak menaiki sleeper train.  Seronok juga! Sebenarnya gambar ini diambil sewaktu kami menuju ke cafe untuk minum hot chocolate ditemani petugas Intrataman.sedangkan yang lain dibuai mimpi ☺️.  Ruang cafe terlupa nak ambil gambar tetapi  lebih kurang sama macam KTM , cuma kerusi meja untuk pengunjung menjamu selera banyak.  Bolehlah duduk minum di sini.

Sambung ke siri ke 2…


Comments

Popular posts from this blog

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 5

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 4