YOGYAKARTA HARI KEDUA

Alhamdulillah hari ini masuk hari kedua berada di Yogyakarta.  Jam 7 pagi kami sarapan dulu di hotel.  Banyak juga menu yang disediakan seperti di satu sudut disediakan nasi putih dan lauk ayam, mee goreng, nasi goreng jawa manakala di satu sudut diletakkan ubi kayu rebus, ubi kayu sira, keledek rebus dan lain-lain.  Satu sudut yang lain diletak roti beserta pelbagai jenis jem. 


Tepat jam 8 pagi Eko kelihatan memasuki laman Hotel.  Kami dibawa ke Goa Pindul yang terletak 7km selatan Yogyakarta.  

Kami dimalumkan oleh Eko di sebelah kanan kami terdapat sejenis pokok yang hanya berbunga setahun sekali iaitu dalam bulan Oktober.  

Kelihatan ramai yang berhenti tetapi kami meneruskan perjalanan.  Jalan semakin kecil.
Goa Pindul ini adalah kawasan rekreasi.  Guanya terletak bawah tanah.  Sampai di situ kami diberi penerangan oleh petugas di situ.  Masing-masing tidak berminat dengan aktiviti ini. Jadi kami hanya mengambil gambar sahaja di sini.

Kami juga belajar cara kehidupan masyarakat di sini.  Kelihatan di hadapan kenderaan kami sebuah lori kecil yang dipenuhi oleh lelaki dan wanita yang kesemuanya berdiri.  Eko menerangkan bahawa mereka dalam perjalanan menziarahi orang meninggal di kampung itu. Dan juga kami dimaklumkan sekiranya kelihatan bendera kecil di hadapan rumah itu bererti rumah itu ada orang meninggal.  


Kami langsung ke Hutan Pinus Mangunan.  Ianya dibuka dari jam 8 pagi hingga 6 petang.  Lokasi di Desa Mangunan.  Seperti juga hutan pinus semalam yang kami pergi keadaan hutan nya bersih dan perlu mendaki dengan disediakan anak tangga yang diletak batu dan kayu. Ini adalah untuk mengelakkan daripada orang dari jatuh kerana licin. Ramai yang baring di atas buaian yang direntang antara pokok ke pokok. Ada juga yang bergambar berlatar belakangkan pokok pinus atau pain.  Untuk masuk dikenakan bayaran Rp2500 seorang.

Aiskrim kuburan tidak berani nak rasa.



Di sini tidak seperti hutan pinus semalam.  Ia lebih kepada cabaran.  Heeem...siapa yang berani bergambar di lokasi yang tinggi setinggi pokok dan tidak gayat bolehlah. 

Banyak tempat menarik untuk bergambar tetapi saya jenis gayat...tidak berani ke arah pokok menaiki sampai ke atas untuk bergambar kerana di bawahnya curam.  

Dalam mencari spot menarik  saya tertarik kepada seorang ibu tua (nenek) menggendong di atas belakangnya yang bongkok daun untuk diberi makan lembu (sapi).  Ia menyorok di balik pokok sambil mengintai ke arah ku yang mula fokus handphone ke arahnya.  Belas rasa hati ini melihat bertapa susahnya kehidupan beliau.  Dengan berkaki ayam ia berlalu sambil memandang ke arah ku ...satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.


Terhibur hati melihat telatah  kumpulan saya bergambar.  Best mereka ini tidak memeningkan kepala.  


Lihat di belakang, itu adalah tempat spot bergambar.  Boleh panjat sampai ke atas kalau berani.  Menurut yang naik di atas, rasa bergoyang. 

Sebelum pulang kami menandatangani buku pelawat.  Tanda kami datang ke sini. 


Muka masing-masing menunjukkan rasa puas hati, kami beredar pula ke Seribu Batu dan rumah Hobbit.  Rumah hobbit ini yang pertama di Yogyakarta.  Lokasinya 30km dari bandar.  Tetapi tidak jauh dari hutan pinus ini. Terletak di jurang.  Untuk ke situ kami perlu menuruni anak tangga.  Di sini tangan saya semakin sakit.  Berdenyut-denyut.  Tetapi saya gagahi juga.  Kelihatan rumah-rumah kecil menghadap satu sama lain.  Kami perlu mendaki pula.  Wah bagus ni banyak peluh keluar.


Yang ini namanya Rumah Hobbit



Kami bergerak semula mendaki untuk keluar dari kawasan ini.  Sempat menelan pil tahan sakit. Ha ha ha penangan hendak berjalan dan melihat tempat orang.

Dari sini kami singgah makan tengahari.  Agak mencabar juga untuk ke sini.  Pusingan tajam dari jalan untuk membelok ke lorong kedai.  Memang cantik dan menarik saranan daripada rakan artis Buah Hati. Di sini semua bahan-bahannya dibuat sendiri.  Daripada roti hinggalah ke air jus (buahnya dipetik terus dari ladang).  Sudah pasti pilihan kami di sini setiap kali makan mesti air yang dipesan adalah jus mangga, silsak (air durian belanda).  Nama kedainya Bumi Langit. Ini saja yang sempat saya ambil.  Makan di sini untuk 9 orang dalam Rp624000 (berbaloi sedap).  Dapat menikmati panorama dari sini kerana konsep kedainya terbuka.  Tiada kipas angin.





Kami kemudian dibawa ke Pantai Parangtritis.  
Untuk masuk dikenakan bayaran Rp4750 seorang. 


 Di sini di larang mandi kerana ombaknya besar.  Ia menghadap Lautan Hindi.  Pasir pantainya hitam.  Kelihatan kereta kuda di pantai.  Kami memutuskan untuk menaiki kereta kuda dengan bayaran Rp100,000.  Saya menaiki dengan kakak saya, Sidah bersama Pah, Thah bersama Hanis dan Nasya bersama Mat Yo manakala Buah Hati macam mem gayanya naik seorang sambil makan jeruk yang diletak dalam mangkuk plastik.  Relaks jer dia. Tengahari terik. Tetapi ramai semacam orang.  Sambil menikmati panorama, kereta kuda menyusur pantai dicelahan orang.  Kami dibawa ke hujung pantai ditempat batu karang untuk sessi bergambar.

  



Kami kemudiannya berpatah balik dan dibawa hingga ke hujung.  Kami dimaklumkan di sini diadakan setahun sekali acara pantai.  

Oleh kerana cuacanya yang sangat panas. Kami menuju ke gerai yang terletak tidak jauh dari tempat kenderaan kami.  Saya dan kakak kongsi minum air kelapa. Peristiwa lucu berlaku di sini kerana masalah bahasa...kakak mahukan sudu manakala tuan kedai menghantar sebiji lagi kelapa.  Kami gelak tidak dapat menahan ketawa patutlah lambat hantar sudu.  Di sini masih ada tehbotol, fanta dan sprite dalam botol kaca.



Kami meminta Eko membawa kami ke Masjid.
Cuma bezanya masjid di sini tiada penghadang antara lelaki dan wanita di ruang solat.

Kami dibawa membeli belah ditoko batik.  Saya hanya membeli dua sejadah lipat.  

Kemudian dibawa ke kedai ole ole (makanan ringan) nama kedainya Bakpia Pathok. Tidak banyak pilihan sangat dan yang sesuai dengan selera kita.




Memandangkan kakak, Buah Hati dan Hanis mahu ke Spa, kami singgah sebentar.  Harga dalam Rp125000

Malam ini kami makan di Ayam Penyet Surabaya.  Harga untuk 9 orang dalam Rp356950. Rangup dan sedap. Cuma sambalnya agak pedas.  Paling saya suka terung berlada perghhhh...


Mata dah mengantuk, perut pun sudah kenyang, kami perlu bergerak awal pagi-pagi esok untuk ke Merapi.

Kita tidur dulu!!!
(Ikuti siri seterusnya trip ke Merapi)


















Comments

Popular posts from this blog

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 1

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 5

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 4