UMRAH 2018 - 10.11.2018

Hari ini kami berkumpul di lobi hotel untuk ziarah dalam selepas sarapan pagi.  Sementara menunggu sempat saya mengambil gambar lobi hotel dan juga harga makanan dan minuman.




Paling sedap tiap kali sarapan atau makan tengahari atau makan malam saya akan mencari air mango.  Lazimnya di ruang makan disediakan air mango, air jus epal, air jus buah campuran, air panas.  Memang sedap!!!

Ustaz Shah memberi penerangan ringkas sebelum kami memulakan ziarah dalam. 


Seterusnya membawa kami menyusuri Masjid Nabawi.


Persinggahan pertama kami adalah Sakifah Bani Saedah.  Tempat di mana Abu Bakar AlSiddiq di baiat menjadi Khalifah pertama.  Yang mana kemudiannya tempat ini menjadi tempat berkumpulnya kaum Ansar.  Sekarang ia menjadi sebuah taman di Kota Madinah.  



Taman ini terletak di sebelah Masjid Nabawi.  


Kami teruskan perjalanan.  Dari jauh kelihatan canopy yang banyak.  Rupa rupanya di sini lah tempat yang pernah diwar-warkan iaitu tempat pelbagai jualan.  Mata kami semuanya tertumpu ke canopy...




Kami melewati gerai tersebut.

Panorama sekitar 

Dari jauh kami ditunjukkan Masjid Al Ghamamah atau Masjid Musholla.  Masjid ini adalah tempat terakhir Rasulullah saw melakukan Solat Aidilfitri.  Di sini Rasulullah pernah berdoa untuk diturunkan hujan.



Kami juga ditunjukkan Masjid Saidina Abu Bakar  dan Saidina Ali.

Seterusnya kami bergerak kembali menyusuri Masjid Nabawi dan berhenti di kubah berwarna hijau. Masyaallah sayu rasa hati dan berat untuk mengungkapkan ucapan Selamat Tinggal.  Entah bila akan dapat ke sini lagi.  

"Ya Allah, janganlah engkau jadikan ziarah ku ke tempat mulia ini sebagai kali terakhir. Kurniakan bagi ku kepadanya ziarah untuk sekalian kalinya dalam kebajikan, kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan.  Jika aku mampu insyallah aku datang lagi,
Jika aku mati, ku ditiupkan pada sisi mu syahadah (kesaksian ku, amanah ku, perjanjian ku, timbangan ku) pada hari itu iaitu kiamat.
Dengan ini kesaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang maha esa, tiada sekutu baginya. Dan kesaksian bahawa Muhammad itu hambanya dan lagi utusannya.
Maha suci Tuhan yang mulia daripada apa apa yang mereka sifatkan
Salam untuk sekalian utusan (Rasul) dan segala pujian bagi Allah, tuhan sekalian alam".

Airmata mengalir, terasa sayu...


Kami kemudian dibawa ke perkuburan Baqi' yang terletak berhampiran.  Dikenali juga dengan nama Jannat Al-Baqi (kebun/taman syurga).

Ianya menempatkan 10,000 jenazah termasuk isteri-isteri dan anak anak Rasulullah saw.  Rasulullah bersabda sesiapa yang mati di dua kota suci Madinah /Mekah kelak akan dibangkitkan dalam keadaan aman pada hari kiamat.


Selesai sahaja penerangan dan bacaan doa kami bergerak ke hotel.  seterusnya berangkat ke Mekah setelah mandi sunat ihram.  Firman Allah swt:
"Dan sempurnakan haji dan umrah itu kerana Allah swt.."
(Surah Al Baqarah ayat 196)

Kami singgah di Bir Ali iaitu miqat (batas antara tanah suci dan tanah tanah lain).  Semua jemaah tidak boleh masuk ke Tanah suci sebelum berihram di miqat ini sekiranya dari Madinah. Dinamakan Bir Ali kerana Saidina Ali bin Abu Talib (paling banyak menggali sumur).  Masjid ini dibangunkan di lokasi berlansungnya Rasulullah saw di bawah pohon Acasia ketika menuju ke Mekah untuk menunaikan umrah.  Kami  seterusnya menunaikan solat tahiyatul masjid dan solat sunat ihram serta berniat ihram.  Sebaik berniat umrah saya perlu menjaga pantang larang ihram daripada 13  iaitu:
- dilarang memakai pakaian berjahit / bersarung (lelaki)
- dilarang tutup kepala (lelaki)
- dilarang menutup bahagian muka (wanita)
- dilarang memakai sarung tangan (lelaki dan wanita)
- dilarang memakai bau-bauan
- dilarang memakai minyak rambut (lelaki dan wanita)
- dilarang mengerat atau memotong kuku (lelaki dan wanita)
- dilarang mencabut atau memotong rambut (lelaki dan wanita)
- dilarang mengerat tumbuh-tumbuhan atau pokok (lelaki dan wanita)
- dilarang memburu atau membunuh binatang yang halal dimakan (lelaki dan wanita)
- dilarang melakukan muqaddimah persetubuhan yang meransang syahwat (lelaki dan wanita)
- dilarang bersetubuh (lelaki dan wanita)
-dilarang menjadi wali, menikahkan atau bernikah

(Ini adalah wajib umrah iaitu sesuatu yang wajib dikerjakan dan kesannya apabila tidak dilakukan harus membayar denda atau dam)

 Mutawwif memulakan perjalanan kami dengan:
"Labbaikallah humma labaik
Labbaikala syari kala kalab baik
Innal hamda wan niqmata lakawal mulk
La syarikalak"

"Aku datang menyahut panggilan mu ya Allah, 
aku datang menyahut panggilan mu, 
Aku datang menyahut panggilan mu,
Tidak ada sekutu bagi mu,
 aku datang menyahut panggilan mu,
Sesungguhnya segala  pujian dan nikmat adalah milik mu,
Demikian juga segala kekuasaan,
Tidak ada sekutu bagi mu

Kami beramai-ramai mengikutinya.  

  Dalam perjalanan kami singgah di hentian untuk menunaikan solat maghrib dan isya.  

Sampai di Mekah  kami berlima menginap di Millennium Tower, kedudukannya 50 meter ke Masjidil Haram.   Berjumpa kembali dengan kumpulan kami di Pintu King Abdul Aziz untuk melakukan ibadah umrah iaitu tawaf dan sai'e.   Tidak sabar rasanya.  Kami berjalan masuk ke Masjidil Haram dengan diketuai Ustaz Shah.   Beliau memaklumkan kepada kami semasa tawaf jangan terlalu bergantung pada buku panduan..baca apa yang kita tahu. Saya membaca:
(a) Tawaf pusingan I -Subhanallah
(b) Tawaf pusingan II - Alhamdulillah
(c) Tawaf pusingan III - La ila ha ila allah
(d) Tawaf pusingan IV - Allah hu Akbar
(e) Tawaf pusingan V - Astaghfirullah hal azim
(f) Tawaf pusingan ke VI - Selawat Nabi
(g) Tawaf pusingan VII - Ya Allah

 Sesekali kelihatan Mutawwif mengangkat tangan kanan ke atas dengan memegang bag kecil bagi panduan jemaah di belakang.  Kami perlu menjaga syarat sah tawaf:
- berwuduk
- suci dari hadas kecil dan besar
- suci daripada najis pada pakaian, tubuh badan dan tempat tawaf
- menutup aurat
- bermula dan berakhir di Rukun Hajarul Aswad
- bahu kiri selari dengan kaabah
- berjalan bagi tujuan tawaf
- 7 pusingan dengan yakin
- tawaf dalam kawasan masjid dan di luar Hijr Ismail

Selesai tawaf kami di bawa solat sunat tawaf di sebelah kiri laluan ke Sai'e.

Setelah memastikan cukup jemaah,  Mutawwif membawa pula kami untuk mengerjakan sai'e.  Beliau membawa kami ke tingkat satu memandangkan aras bawah jemaah terlalu ramai.  Dalam melaksanakan Sai'e saya dan jemaah lain perlu memastikan syarat sah Sai'e:
-dilakukan setelah sempurna tawaf
-bermula di kaki bukit Safa dan berakhir di bukit Marwah
-tujuh kali keliling dgn yakin
-berjalan bagi tujuan Sai'e

"Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syi'ar Allah.  Maka barang siapa yang beribadah haji ke Baitullah atau berumrah, maka tidak ada dosa baginya mengerjakan sa'i antara keduanya, dan barang siapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan rela hati, maka sesungguhnya Allah Maha mensyukuri kebaikan lagi maha mengetahui" - Surah Al Baqarah ayat 158

  Kami kemudian berkumpul di Marwah setelah selesai tujuh pusingan dan melaksanakan Tahallul.



Alhamdullilah selesai umrah wajib...Saya bersyukur berjaya menghabiskan pusingan sai'e kerana ketika dua atau tiga pusingan terakhir kepala mula berdenyut.  Nasib baik ubat dibawa bersama.  Sempat saya mengambilnya bersama air zam zam yang sentiasa ada di laluan sebelah kiri sai'e.  Akhir pusingan rasa pening semakin hilang.

Setelah berehat sebentar, mutawwif membawa kami keluar dan sempat menunjukkan kami arah  rumah kelahiran nabi Saw yang kini dijadikan perpustakaan.  Memandangkan masing-masing  keletihan, kami kembali ke hotel masing masing untuk berehat.

Ikuti siri seterusnya

Comments

Popular posts from this blog

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 1

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 5

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 4