UMRAH 2018 - 7.11.2018
Perjalanan umrah kali ini bukanlah merupakan yang pertama dan semuga bukan yang terakhir untuk saya. Sesiapa yang pernah mengerjakan Umrah pasti merinduinya dan berazam untuk mengulanginya lagi. Satu perasaan yang tidak sama dengan kita melawat ke negara-negara lain. Saya hanya ingin berkongsi pengalaman umrah kali ini khususnya sebagai kenangan indah untuk diri saya dan sebagai pedoman kepada yang baru pertama kali ingin ke sana. Kerana bagi saya akan sentiasa mencari yang terbaik dalam melaksanakan umrah dan ibadah.
Alhamdulillah, saya bersama kakak berusaha menyiapkan ketahanan fizikal dengan berjalan kaki antara 2.5 km hingga 7 km. Bertujuan supaya semasa mengerjakan umrah nanti tidak kepenatan kerana perlu mengeluarkan banyak tenaga iaitu berjalan kaki untuk melaksanakan tawaf dan sai'e.
Selain dari itu, persiapan dari segi mental juga perlu kerana sebaik sahaja kaki melangkah dari rumah, kita perlu melalui pelbagai kerenah manusia, aturcara yang telah disusun dan pelbagai lagi. Pendekata kena banyak bersabar dan tidak boleh lepas cakap.
Persiapan lain juga perlu ada sedikit ilmu. Hadirkan diri ke majlis taklimat yang diadakan oleh Travel Agency kerana di sini diterangkan secara teori dan praktikal serta soal jawab. Selain itu, saya dan kakak turut mencari maklumat tentang tempat-tempat ziarah dalam dan luar di Madinah dan Mekah serta sejarahnya agar apa yang disampaikan oleh Mutawif kami faham dan dapat kami hayati. Selain itu juga kami banyak bertanya dengan Ustaz tempat yang afdhal berdoa serta doa.
Persiapan demi persiapan mula dibuat setelah bayaran dijelaskan sepenuhnya. Checklist barang keperluan disediakan. Antaranya:
(a) Telekong putih - untuk dipakai semasa mengerjakan umrah.
(b) Telekong hitam - untuk dipakai di Madinah dan juga di Mekah.
(c) Kasut tawaf - untuk dipakai untuk umrah
(d) Stokin kaki (tebal) - untuk kegunaan sepanjang masa
(e) Sarung lengan
(f) Kasut getah bersarung - untuk kegunaan masa ziarah luar. Lazimnya akan singgah ke Masjid. Pasti kaki basah kerana mengambil wudhu'.
(g) Sunglass - Untuk kegunaan di Mekah atau Madinah.
(h) Baju sejuk - Cuaca sejuk di akhir tahun dan juga di Taif.
(i) Ubat - Perlu dapatkan dari doktor seperti ubat demam, sakit tekak, selsema, batuk, vitamin c serta ubat khusus jika ada.
(j) Suntikan vaksin umrah - Tidak wajib tapi kami ambil.
(k) Tudung labuh berwarna - Senang nak bergerak atau berjalan. Boleh digunakan untuk solat
(l) Buku panduan Umrah bertali - Perlu bawa sebagai panduan kita di sana.
(m) Penyangkut baju - Sebagai tambahan.
(n) Set travel umrah - Jika perlu
(o) Gunting kecil
(p) Penyepit kuku
(a) Wang Saudi Arabia dan sedikit wang tunai RM untuk kegunaan makan minum di airport serta kad ATM yang telah di setkan untuk kegunaan di Arab Saudi bagi tempuh 12 hari tersebut (guna jika perlu).
Saya juga memberi tumpuan pengisian bagi setiap waktu supaya bila di sana nanti saya tidak mempersia-siakan masa yang ada. Saya mengambil pendekatan dengan membaca Al Quran dengan surah-surah berikut selain melaksanakan solat sunat:
Selepas solat subuh - Surah Yaasin
Selepas solat zohor - Surah Ar Rahman
Selepas solat asar - Surah An Naba'
Selepas solat maghrib - Surah Al Waqiah
Selepas solat isya - Surah Al Mulk
Pada pagi 7hb November 2018 saya, kakak dan anak saudara (buah hati) bersiap. Bag pakaian disusun di hadapan pintu sementara menanti anak saudara sampai untuk menghantar kami ke Lapangan Terbang. Alhamdulillah akhirnya ia menjadi realiti setelah menyimpan impian untuk mengerjakan umrah semenjak tahun lepas lagi.
Comments
Post a Comment