UMRAH 2018 - 8.11.2018

Hari ini saya bersama kakak dan buah hati menuju Masjid Nabawi untuk menunaikan solat subuh.  Kelihatan orang berduyun-duyun menuju ke Masjid Nabawi melalui pintu 25 dan pintu-pintu yang lain.  Ada yang lebih selesa solat di luar.  Kami dibekalkan bag kasut oleh Travel Agency, jadi sampai sahaja sebelum masuk, kami menanggalkan kasut serta memasukkannya ke dalam bag tersebut dan membawanya masuk bersama.

Pintu 25 ini khusus untuk wanita sahaja.  Di pintu masjid yang kami lalui ini terdapat dua petugas wanita memeriksa setiap bag yang dibawa masuk. 

Pertama kali menunaikan solat subuh di Masjid Nabawi saya menitiskan airmata kerana terlalu sebak. Solat di Masjid Nabawi ini menyamai 1000 kali solat berbanding masjid lain kecuali Masjidil Haram.  Masjid Nabawi ini adalah masjid kedua dibina Rasulullah S.A.W setelah Masjid Quba. 

Dalam perjalanan pulang saya tercari-cari hotel yang pernah saya duduk dahulu namun tidak kelihatan.  Dalam hati berkata-kata "tak mengapalah" sambil menghirup udara yang segar serta dingin. 

Setelah sarapan pagi,  Kami bergegas ke bilik mengambil wudhu kerana ziarah luar kami antaranya adalah masjid Quba. Rasulullah bersabda "Sesiapa sahaja yang bersuci dalam keadaan berwuduk dari rumah, kemudian mendatangi masjid Quba dan mendirikan solat di dalamnya maka ianya adalah setara dengan satu umrah".

Kami semua berkumpul di lobi dan kemudian menaiki bas.  Ziarah luar pertama kami adalah: MASJID QUBA. 


Masjid ini merupakan masjid pertama dibina Rasulullah SAW.  Didirikan atas dasar takwa ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah.  

Di sini kami mendirikan solat  tahiyatul masjid dan solat dhuha.  

Kelihatan taman kecil di sebelah luar masjid, terdapat beberapa keluarga berkelah.  


Manakala di perkarangan masjid kelihatan penjual menjual kekacang, kurma, tasbih dan pelbagai jualan. 

Sebelum sampai ke Masjid Quba kami melewati terlebih dahulu (a)Masjid Al Hijabah atau di kenali juga dengan nama Masjid Al Mubahalah.  Maksudnya "dikabulkan".  Tiga doa nabi kepada Allah:
1. Rasulullah berdoa kepada Allah tidak membinasakan umatnya dengan kekeringan dan kelaparan.
2. Rasulullah berdoa agar Allah tidak membinasakan umatnya dengan menenggelamkan nya.
3. Rasulullah berdoa agar di kalangan umatnya tiada fitnah dan perbezaan. 

Allah makbulkan doa pertama dan kedua.

(b) Masjid Bilal.

Destinasi kami berikutnya Ladang Kurma

Terdapat pelbagai jenis kurma, kekacang, cokelat, kismis dan pelbagai jualan. Kami hanya membeli kismis dan kacang sahaja.  Kurma yang paling terkenal di sini ialah kurma rasulullah saw - jawa.  Bencinya ditanam sendiri oleh baginda.  Riwayat Bukhari menyatakan "barang siapa yang makan tujuh biji tamar jawa pada waktu pagi, nescaya racun dan sihir tidak akan memudaratkannya pada hari itu".  Kurma Ajwa kami pesan dengan Mutawif kerana mahukan kurma yang ditanam di Madinah.  Harga sekilo RM100.00.

Di bahagian belakang bangunan ini, terdapat kawasan rehat.  Sesuai untuk kita rakamkan lokasi sebagai kenang-kenangan.

Selesai membeli belah kami dibawa singgah sebentar Bukit Uhud. Bukit yang dijanjikan ada di syurga.  Di lembah gunung inilah pernah terjadi pertempuran besar antara pejuang Islam 700 orang dengan kaum kafir 3000 orang.  70 orang pejuang Islam mati syahid.  Antara yang syahid bapa saudara Nabi iaitu Hamzah bin Abd Mutalib.  


Kami tidak boleh lama di sini kerana difahamkan  pemandu bas pernah dikenakan saman.  Agak terkilan kerana kami tidak dapat menghampiri perkuburan para syuhada yang dikelilingi tembok.  

Dalam perjalanan pulang ke hotel, kami melewati Masjid Qiblatain atau masjid dua kiblat.   Masjid ini memiliki dua arah kiblat yang berbeza.  Mulanya ia dikenali nama Masjid Bani Salamah kerana ia dibangunkan di atas bekas rumah Bani Salamah.  Lokasinya di tepi jalan menuju kampus Universiti Madinah. 

Permulaan Islam, orang melakukan solat dan kiblat ke arah Baitulmaqdis (nama lainnya Masjidil Aqsa).  Pertukaran arah kiblat kerana Nabi tidak tahan menerima ejekan kaum Yahudi yang menyatakan Nabi mengikut nenek moyang mereka kerana berkiblatkan Baitulmaqdis. Turun wahyu kepada Nabi untuk memindahkan kiblat ke arah Masjidil Haram (Surah Al Baqarah ayat 144) semasa Nabi sedang solat.

Kami tidak berkesempatan singgah kerana kesuntukan masa. 

Pada sebelah malam selepas isya dan makan malam, kami berkumpul di lobi.  Kami dibawa masuk ke pintu 25 untuk ke Raudhah.  Raudhah adalah:
- Seperti taman syurga (memberi ketenangan dan kedamaian orang yang memasuki)
- Beribadah di tempat ini akan membuat pelakunya masuk syurga.
- Tempat ini akan dipindah ke syurga dan menjadi salah satu taman di akhirat kelak. 

Tempat ini paling mulia di Masjid Nabawi.  Disyariatkan untuk perbanyakkan ibadah sunnah seperti solat, zikir dan membaca al quran. Waktu-waktu ziarah untuk wanita selepas subuh, zohor dan isyak. 

Kami dipimpin oleh seorang ustazah.  Beliau membawa kami masuk dan meminta kami meninggalkan kasut di satu tempat yang mana nanti setelah semuanya selesai kami diminta berkumpul di sini.  Tujuan beliau bagi memastikan semua jemaah cukup.

Saya pernah membaca  artikel tentang bagaimana individu ini semasa menunggu masuk menyempurnakan solat hajat dan berdoa dalam sujud akhirnya memohon rezekinya untuk solat di Raudhah.   Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, tiada masalah dan mudah mendirikan solat di Raudhah.  Tetapi rupanya baru saya faham akan apa yang dilalui individu tersebut.  Kebetulan hari ini adalah hari Jumaat di mana merupakan hari cuti.  Ramainya lebih dari biasa.  Sesak dan tidak dapat dikawal lebih lebih lagi d Raudhah.

Sementara menunggu dipanggil masuk, saya memberi salam kepada Rasulullah diselang seli dengan selawat serta fatihah diikuti salam kepada Abu Bakar Al Siddiq serta Omar Al Khattab diikuti dengan bacaan doa.

Ustazah meminta kami menunggu dan tidak benarkan kami masuk kerana beliau menghantar jemaah wanita yang kurang upaya masuk ke raudhah terlebih dahulu.  Sebaik sahaja dibenarkan masuk, keadaan memang padat dan berasak-asak.  Akhirnya saya dan jemaah lain berjaya ke barisan hadapan dan berjaya menunaikan solat taubat dan solat hajat dengan dijaga dan dikawal oleh ustazah.  Alhamdulillah..
Saya tidak sempat meninjau tiang-tiang seperti tiang wangi, tiang Saidatina Aishah, tiang taubat, tiang katil, tiang pengawal, tiang deligasi, tiang tahajjud serta tiang 4 segi kubur yang mempunyai cerita yang tersendiri semasa zaman nabi di kawasan Raudhah.  

Selesai solat saya keluar dalam keadaan sesak.  Memang mencabar.   Namun itu adalah kenangan yang amat berharga..Kami akhirnya berkumpul di tempat tadi dan beredar keluar melalui pintu yang sama.  

Ikuti siri seterusnya

Comments

Popular posts from this blog

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 1

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 5

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 4