UMRAH 2018 - 17.11.2018

Sedih..Hari ini akan berangkat ke Jeddah.  Apakah saya akan merasa kerinduan akan Masjidil Haram nanti, macam-macam perkara bermain di fikiran.  Kami dimaklumkan oleh Mutawwif agar melakukan tawaf wida' sebelum solat zohor.  Kami juga dimaklumkan selepas tawaf wida terus balik ke hotel. Kami akur akan pesanan nya.

Kami di walkator menuju ke Masjidil Haram.


Sekumpulan jemaah minum dan mengambil air. 

Air zam zam disediakan dalam bekas seperti ini

Sebelum masuk ke Masjidil Haram kami minum air zam zam mengadap ke arah kiblat dengan tiga kali nafas dan teguk.  Setiap kali nafas, sebut Alhamdullilah dan setiap kali minum dengan baca Bismillahirrahmanirrahim. Berdoa  dan minum dengan tangan kanan.  

Zam-zam bermaksud air yang melimpah.  Telaga ini terletak lebih kurang 20 meter sebelah tenggara kaabah.  Mengeluarkan air yang tidak perlu dirawat dan tidak pernah kering.  Mukjizat Nabi Ismail bersama ibunya Siti Hajar oleh Allah.  Keutamaan air zam zam:
- air syurga
- nikmat allah
- pencuci hati
- penuh berkat
- mengenyangkan
- ubat penyakit
- abadi sampai kiamat

Sebelum masuk Masjidil Haram untuk Tawaf Wida'.

Kami menuju ke Hijr Ismail dengan harapan dapat menunaikan solat sunat atau berdoa.  Ramainya orang..alhamdulillah kami bertiga dapat masuk dan sempat berdoa di situ tapi tidak berkesempatan solat sunat kerana terlalu padat. 

Hijr Ismail pada asalnya adalah tempat berteduh Nabi Ibrahim sepanjang pembinaan kaabah.  Oleh kerana kekurangan dana yang halal untuk menyempurnakan binaan semula kaabah akibat kebakaran dan banjir, Hijr Ismail dikeluarkan dari binaan namun termasuk dalam kaabah.  Ianya salah satu tempat dimakbulkan doa.  

Kami kemudian kami menunaikan tawaf Wida.
"Ya Allah, tuhan yang memberi segala perlindungan, lindungilah aku ya Allah, yang maha mendengar, perkenan permohonan ku, ya Allah, Tuhan Yang Maha Gagah Perkasa, tutuplah segala kelemahan ku, ya Allah yang maha pemurah, kasihanilah aku.  Ya Allah, tuhan yang mengembalikan sesuatu, kembalilah aku ke Baitullah ini lagi."

"Ya Allah, murahkan rezeki ku supaya dapat kembali menziarahi Baitullah berulang kali dengan bertaubat, beribadat, mengucap syukur dan puji-pujian.Telah benar janji Allah, lagi menolong hambanya memuliakan sekalian bala tenteranya dan mengalahkan musuhnya dengan keagungannya.  Ya Allah, selamatkan kami, kurniakan kami afiat dan keuntungan,begitu juga kepada hamba-hamba engkau yang menziarahi Baitullah dengan mengerjakan fardhu haji, mereka yang berjihad, mereka yang musafir juga mereka yang bermukim, sama ada musafir melalui daratan lautan atau ruang udara di mana mereka ini terdiri dari umat Saidina Muhammad Sallallahu alaihi wasallam seluruhnya"

Ya Allah, ya tuhan ku, peliharalah aku dari segenap pihak, di kanan, di kiri, di hadapan, di belakang, di atas dan di bawah sehinggalah aku sampai kembali kepada keluarga ku dan negeri ku.  Ya Allah, janganlah engkau jauhkan aku dari rahmat mu, walau sekelip mata sekali pun."

"Ya Allah, ya tuhan ku, engkaulah yang menjaga kami di dalam perjalanan, engkaulah yang menjaga keluarga kami sepeninggalan kami menziarahi rumah engkau, hancurkanlah segala musuh musuh kami, engkau kaku kanlah mereka sehingga tidak dapat bergerak untuk membinasakan kami."

"Ya Allah, ya tuhan kami, janganlah engkau jadikan hari ini sebagai hari yang penghabisan bagi aku menziarahi Baitullah, Ya Allah,ya tuhan ku, cucurilah rahmat mu ke atas ku dengan memberi petunjuk kepada ku.  Aku akan meninggalkan segala larangan mu selama hayat ku.  Kasihanilah aku dengan tidak memberatkan perkara yang tidak menyenangkan aku.  Berikanlah kepada ku sebaik pandangan supaya dapat aku mengerjakan pekerjaan yang mendapat keredhaan mu."

"Ya Allah, ya tuhanku, kurniakan nikmat penglihatan ku dan memperlihatkan pembalasan mu terhadap seteru ku.  Tolonglah aku daripada mereka yang menganiaya aku.  Ya Allah, ya tuhan ku, aku berlindung dengan engkau dari segala kedukaan, kelemahan, kemalasan, pengecut dalam menghadapi segala pancaroba, kikir, kedekut dan bergelumang di dalam hutang yang tidak berkeputusan dan kekerasan musuh."

"Ya Allah,Ya tuhan ku, aku memohon. kepada mu segala kebaikan dan kebajikan di dalam perjalanan kami serta keredaan mu di dalam segala pekerjaan.  Ya Allah, mudahkan perjalanan kami, perdekatkan yang jauh, engkau ya Allah yang menolong kami di dalam perjalanan, ya Allah,aku berlindung dengan mu daripada segala kesusahan di dalam perjalanan, buruk pandangan, buruk peninggalan harta benda keluarga.  Ya Allah, sertailah keampunan gaji kepada kami dan kurniakan afiat."

Ya Allah, ya tuhanku, pendekkan perjalanan dan permudahkan serta selamatkan kami dari segala yang mendukacitakan kami.  Ya Allah sampaikan perkhabaran baik kepada kami, lindungi kami dan berikan keredhaan mu dengan kekuasaan mu, sesungguhnya engkaulah yang maha berkuasa.  Ya Allah, sertailah kami dalam perjalanan kami dan gantilah kami dan pertolongan mu untuk memelihara keluarga kami."

"Ya Allah, peliharalah di dalam perjalanan kami dan gantikan kami di dalam memelihara keluarga kami, aku berlindung dengan kebesaran mu daripada segala yang membinasakan daku wahai tuhan yang maha pengasih lagi penyayang'"

Seterusnya kami solat sunat tawaf denga diakhiri dengan bacaan doa
"Ya Allah, ya tuhan ku, janganlah dijadikan tawaf dan ziarah hamba ini sebagai kali yang penghabisan di Baitullah.  Jika sekiranya ditakdirkan menjadi kali yang terakhir maka hamba pohonkan syurga sebagai ganti dengan kemudahan engkau ya Tuhan yang amat pemurah lagi penyayang".

Selesai kami terus beredar balik ke hotel dan terus ke Restoran.  Kami tidak dibenarkan masuk oleh petugas di situ.  Mungkin dugaan buat kami.  Mutawwif bertugas di maklumkan.  Beliau seterusnya membawa kami ke restoran hotel dan bercakap dengan petugas.  Petugas tersebut lantas memohon maaf dan membenarkan kami masuk.  Saya dah tidak ada selera makan.

Pukul 2.00 petang..Mutawwif membawa kami ke Nada Daefah Hotel.  Di sini kami mengambil kesempatan menimbang bag "luggage" agar tidak melebihi 23 kg.  Setiap seorang dibenarkan tidak lebih dua bag luggage.

Kami menaiki bas menuju ke Jeddah.  Berhenti di Mall tapi kami tidak turun kerana perlu melintas jalanraya. Ramai berehat dalam bas.  

Kami kemudian dibawa ke sebuah restoran untuk makan malam.


Kemudian terus dibawa ke Lapangan Terbang Jeddah.  Kami sempat solat maghrib dan isya di sini.

Menaiki flight pukul 3.00 pagi (waktu Arab Saudi) dan sampai  5.55 petang (waktu Malaysia).. Alhamdulillah..

Ucapan terima kasih kepada kedua insan ini yang menyatakan kesudian menyertai perjalanan umrah kali ini, jika tidak pasti buah hati (anak saudara) tidak dapat menunaikan umrah.  Semuga Allah jua yang membalas.

Terimakasih kepada dua insan ini juga - kakak dan buah hati yang sudi menemani saya.  Kenangan indah kita selama 12 hari sangat berharga melalui pelbagai rasa bersama.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada dua orang kuat Wira Saujana.   


Terimakasih kepada Mutawwif iaitu:
Tuan Haji Syed Mohd Asyraf bin Syed Hamid
- membawa ziarah luar di Mekah dan menghantar kami ke Lapangan Terbang Jeddah

Tuan Haji Ahmad Huzaimi bin Mohd Noor
-menghantar pulang ke Jeddah

Ustaz Syed Mohd Safuan bin Syed Hashim
- membawa ke Muzium Haramain

Tuan Haji Tuan Abdul Shaharan bin Tuan Mat
- mengambil di Airport Madinah, membawa ziarah dalam dan luar Madinah serta umrah

Tuan Haji Syed Naqib bin Syed Othman
-menjemput dan menghantar saya serta 4 yang lain untuk makan malam di Restoran Turki 

Tuan Haji Mohd Ridwan bin Mohd Yunus
-membawa ziarah ke Taif dan Muzium Haramain

Tuan Haji Mohd Rizqi
-mengurus penginapan kami di Millenium Tower,  membawa ziarah ke Taif serta membantu kami urusan timbang bag bagasi agar tidak melebihi 23 kg bagi satu bag.

Jelas tugas Mutawwif tidak semudah yang disangka. Melayan karenah jemaah selain tugas utama memberi penerangan ziarah dalam dan luar, mencari jemaah yang hilang dan lain lain tugas,  juga kepada semua petugas Wira Saujana yang terlibat secara langsung atau pun tidak langsung.  Sesungguhnya ini adalah kenangan yang amat indah...kamu semua melaksanakan tugas yang terbaik.  Terima kasih semua...

Pada saya in sya allah, menanam hasrat untuk ke sana lagi.  Banyak lagi tempat bersejarah untuk dilawati.   Rindu bau haruman Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, rindu untuk melakukan tawaf dan sai'e, rindu ke taman syurga (raudhah), rindu menziarahi mu Ya Rasulullah.  Semuga ibadah umrah ku diterima mu ya Allah juga semuga kamu makbulkan doa hamba ini sepanjang berada di sana.

Kepada pembaca apa yang saya dikongsikan ini adalah pengalaman yang saya lalui.
 (1) Berdasarkan 12 hari, rasanya tidak perlu set penuh travel umrah cuma beli lotion untuk tumit (untuk lelaki),  pelembab muka dan pelembab bibir.  Sebab umrah tidak mengambil masa berhari-hari.  Selepas ke Miqat terus jemaah mengerjakan tawaf, sai'e dan tahallul.  
(2) Exercise fizikal (berjalan kaki) sebelum menunaikan umrah
(3) Pergi dengan ilmu 
(4) Banyakkan solat sunat 
(5) Gunakan kesempatan di sana dengan melakukan solat jenazah.

Perkongsian saya lebih kepada perjalanan ibadah umrah.  Mana yang baik dan boleh diikuti silakan, demikian sebaliknya.  Semuga terbuka pintu hati yang membaca untuk ke sana.  Ibarat kata Mutawwif "tanamkan niat dan mulakan menabung"

Sekian, terimakasih kerana sudi meluangkan masa membaca blog saya.


Comments

Popular posts from this blog

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 1

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 5

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 4