WANITA KENTAL

Sudah beberapa kali saya mencuba untuk menulis istimewa buat mu tetapi entah mengapa saya tidak menemui ayat yang dapat menggambarkan apa yang tersirat kerana saya bukan penulis yang pandai mengolah bicara.

Saya gagahi juga hasrat ini kerana ia istimewa dari sudut mata saya bukan kerana kamu adalah seorang kakak tetapi kerana punyai sesuatu yang boleh dikongsi agar menjadi inspirasi kepada wanita lain.

Kakak ku,

Tatkala suami mu meninggal kamulah orang yang pertama disisinya.

Tatkala suami mu dikebumikan kamu kelihatan tenang setenang kamu mengiringi pemergiannya dengan menjiruskan air di pusaranya. Sebelum itu kamu dan kesemua anak-anakmu memandikan jenazahnya. Kamu memang kuat. 

Kakak ku,

Tatkala malam kamu bisa mengatur langkah ke surau menghadiri kenduri tahlil buat suami mu.  Sedih sangat melihat kamu mengatur langkah tanpa insan tersayang disisi.

Kakak ku,

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.  Sebagai seorang balu sudah tentu banyak perkara yang perlu kau segerakan.  Jadi masa mu banyak di luar menguruskan itu dan ini.

Kakak ku,

Banyak keinginan arwah yang belum kesampaian telah kamu cuba penuhi bersama BUAH HATI.  Namun tiada siapa yang tahu usaha murni itu. 

Kakak ku,

Begitu banyak rintangan yang perlu diharungi antara yang dijangka dan ada yang di luar jangkaan.  Itu sudah resam di dunia ini kalau dulu kita tidak kenal siapa saudara dan rakan, kini kita lebih mengenali siapa mereka. 

Kakak ku,

Ketabahan mu tanpa menitiskan airmata mu membuatkan adik mu kagum akan kecekalan dan kepasrahan mu. 

Kakak ku,

Kamu mungkin menyimpan keresahan, kerinduan dan pelbagai rasa demi anak-anak mu.  Kelemahan kamu menggoyahkan anak-anak mu yang begitu rapat dengan arwah.  Kini cucu mu menjadi penawar. 

Kakak ku,

Kalau dulu kamu  berjalan beriringan dengannya ke mana-mana, bersama-sama ke masjid mendalami ilmu ugama, namun kini kamu perlu biasakan diri bersendirian..tentu janggalkan? Bagi Adik mu melihat kejanggalan ITU Dan sedih kerana kamu perlu meneruskannya sendirian.

Kakak ku,

Adakala mungkin kamu akan rasa keseorangan walaupun kamu bersama anak-anak mu. Namun itu adalah lumrah dunia.  Adakala kita terasa seperti tiada sesiapa mengambil peduli Dan mengambil tahu. Kita sendiri perlu mengatur hidup kita, menyesuaikan diri dengan situasi baru tanpanya disisi.  Bukan mudah tetapi hidup perlu diteruskan.  Kita perlu mencari ruang menggembirakan hati dan diri kita sendiri. Kerana tiada siapa yang faham dan merasai situasi yang dihadapi. 

Tidak siapa yang sangka apa yang berlaku  pada tika ini amat di luar batas fikiran kita.  Sesungguhnya allah sedang menguji mu kakak ku....

Comments

Popular posts from this blog

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 1

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 5

HADYAI, PATTAYA, BANGKOK 4