RAMADHAN DAN AIDILFITRI 2016
Abang ipar yang saya anggap pengganti abah telah meninggal dunia pada akhir tahun lepas. Sudah tentu ketiadaan seorang lagi ahli keluarga ketika menyambut Ramadan dan syawal membuatkan saya dan ahli keluarga arwah yang lain merasakan ketiadaan beliau.
Kalau dulu sewaktu saya ke rumah beliau di bulan Ramadan, beliau pastinya akan menunggu saya bersama kakak dan Permata Hati di TBS seterusnya akan membawa saya makan samada di kedai makan di Setiawangsa mahupun di kedai makan yang terletak dalam perjalanan pulang ke rumah.
Tapi kali ini di tahun ini saya terasa kehadirannya di celah-celah orang ramai di TBS. Mungkin kerana kenangan lalu terbawa-bawa. Yang datang adalah kakak dan Buah Hati. Semuanya kini telah berubah dan kita sebagai insan perlu akur dengan ketentuannya dan perlu redha.
Pada keesokan malam selepas berbuka puasa di Publika, saya dibawa oleh Buah Hati ke Masjid Wilayah untuk menunaikan solat terawih. Sekali lagi ingatan saya tertumpu kepada tahun-tahun sebelum ini di mana arwah akan solat terawih di sini mahupun solat zohor dan qiamullail. Seronoknya waktu itu. Sempat saya melihat kakak akan mencium tangannya selepas solat sewaktu kami bertemu sebelum menuju ke kereta.
Teringat juga saya selalu membuat aneka jenis puding sewaktu berkunjung ke sana dalam bulan puasa. Tetapi puding kegemaran arwah adalah puding kastad. Puding ini dan nasi serta lauk pauk yang disediakan kakak akan dibawa berbuka di kedai makan berhampiran tempat kerja Permata Hati. Pihak restoran tiada halangan kerana Permata Hati selalu makan di situ. Kemesraan keluarga ini jelas bermsin-main di fikiran.
Tapi kini semuanya telah menjadi kenangan.
Tahun ini menjadi semakin hambar. Tiada persediaan seperti tahun-tahun sebelumnya. Kalau dulu arwah akan setia menemani kami membeli belah berjam-jam lamanya dan namakan kemana kami nak pergi, arwah tidak akan mengatakan tidak kecuali arwah telah mempunyai temujanji dengan anak angkatnya.
Kini semuanya telah menjadi kenangan.
Tahun ini bagi saya hanya menukar langsir tingkap di ruangan tamu sahaja dipadankan dengan langsir pintu sediada. Penjimatan.
Betul kata orang, keseronokan menyambut syawal adalah di alam kanak-kanak dan remaja. Semakin kita dewasa, semakin kita kehilangan kedua ibu bapa dan sejumlah besar ahli keluarga semakin hambar suasana Syawal.
Kali ini kalau tiada aral melintang saya akan beraya di utara. Pengalaman beraya di tempat orang. Seronok ke tidak? Tetapi semuanya bergantung kepada permohonan cuti raya. Harap-harapnya lulus.
Dalam menyediakan persiapan raya, setiap tahun saya akan buat biskut ini namanya Biskut Peanut Butter. Biskut ini tiada jual,di,mana-mana. Saya perolehi dan pelajari resepi ini dari arwah ibu saya. Alhamdulillah kerana ada antara cucu-cucu arwah emak suka dengan biskut ini.
Comments
Post a Comment